KUALA TERENGGANU - Dua murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Marang, berdepan detik menakutkan selepas dipercayai menjadi mangsa amang seksual seorang lelaki. Kejadian itu hanya terbongkar selepas salah seorang daripada mangsa yang berusia 10 tahun menceritakan perbuatan keji suspek berusia 23 tahun itu kepada ibunya, pada Ahad lalu. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan Soffian Santong berkata, kanak-kanak itu memberitahu suspek ada memegang kemaluannya sebelum ini. Jelas Soffian, ibu mangsa yang terkejut dengan cerita itu terus membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan dan risau sekiranya suspek akan terus menganggu anaknya selain tidak berpuas hati dengan perbuatan biadab suspek. “Hasil daripada pendedahan tersebut, seorang lagi wanita membuat laporan polis memaklumkan anak lelakinya berusia 11 tahun turut diperlakukan perkara sama oleh suspek," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Susulan laporan daripada kedua-dua wanita itu, suspek ditahan sebelum siasatan lanjut dijalankan mendapati dia menjadikan kanak-kanak lelaki sebagai 'sasaran' melakukan perbuatan tidak bermoral itu. Soffian berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sekiranya masih ada lagi murid sekolah yang menjadi mangsa suspek. “Kita sedang siasat dan saya minta jika ada ibu bapa yang anaknya menjadi mangsa dapat tampil membuat laporan polis. “Ingin saya tegaskan, kita memandang serius ini dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan suspek dikenakan hukuman yang sewajarnya," katanya. Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.