Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta meninggal dunia

Kamsiah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta, kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan).
Kamsiah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta, kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan).
A
A
A

JAKARTA - Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta, kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan).

Punca kematian adalah disebabkan oleh denggi dan komplikasi kesihatan, menurut Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

Kamsiah, 54, pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.

Allahyarhamah juga merupakan Wakil Malaysia ke Majlis Pentadbiran Institut Keamanan dan Rekonsiliasi ASEAN (ASEAN-IPR).

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan rasa sedih dan pilu dengan perkhabaran duka itu.

"Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang dikasihi-Nya, dan didoakan keluarga tabah menghadapi cabaran ini. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Twitter beliau pada Khamis.

Beliau berkata Allahyarhamah telah berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan pernah bertugas di Thailand serta Singapura.

Allahyarhamah merupakan isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina Norman Muhamad. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!