Disiplin harus atasi nafsu belanja wang KWSP

Dalam persekitaran pemulihan ekonomi ketika ini, pengeluaran KWSP lebih elok digunakan ketika situasi kecemasan dan hanya sebagai ‘pilihan terakhir’.- Gambar hiasan
Dalam persekitaran pemulihan ekonomi ketika ini, pengeluaran KWSP lebih elok digunakan ketika situasi kecemasan dan hanya sebagai ‘pilihan terakhir’.- Gambar hiasan
A
A
A

SETELAH lebih dua tahun Malaysia bergelut menangani penularan pandemik Covid-19, rakyat kini sudah boleh menarik sedikit nafas lega susulan peralihan ke fasa endemik hari ini yang menyaksikan kerajaan memberikan pelbagai kelonggaran.

Ia termasuklah permohonan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang juga mula dibuka hari ini.

Pengumuman yang sangat dinanti-nantikan selepas rakyat berjuang berterusan dalam menuntut pengeluaran khas itu terutama bagi mereka yang masih terkesan dan bergelut dengan masalah ekonomi sejak pandemik melanda.

Bukan semua rakyat memiliki kemampuan kewangan untuk bertahan dengan kejutan ekonomi akibat musibah pandemik yang sehingga kini sudah meragut seramai 34,939 nyawa setakat Rabu.

Tidak dinafikan, ekonomi Malaysia terjejas teruk akibat Covid-19 dengan kadar pengangguran naik mendadak kepada 5.3 peratus pada Mei 2020.

Bagaimanapun, impak ekonomi mula berkurangan pada suku keempat 2021 apabila kadar pengangguran susut kepada 4.3 peratus, paras terendah sejak pandemik melanda Malaysia, apabila permintaan terhadap tenaga kerja meningkat kembali di tengah-tengah pemulihan ekonomi.

Bagi sesetengah orang, pelan persaraan kekal menjadi satu impian, namun rakyat tidak boleh melabur pada masa hadapan sekiranya keadaan kewangan sekarang kurang baik.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM71,000 daripada dana persaraan menerusi tiga program pengeluaran KWSP iaitu i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai 2021 yang secara kolektifnya berjumlah RM101 bilion.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, 6.1 juta pencarum berusia kurang 55 tahun mempunyai simpanan RM10,000 ke bawah selepas persaraan, manakala 2.6 juta pencarum mempunyai simpanan RM1,000 ke bawah setakat Disember 2021.

Sejak pandemik bermula, simpanan median bagi ahli berusia 54 tahun merosot kepada RM37,000 setakat Disember 2021 berbanding RM41,000 sebelum Covid-19.

Jauh daripada simpanan asas yang disyorkan oleh KWSP iaitu sebanyak RM240,000 jika seseorang itu mahu menghabiskan purata RM1,000 sebulan untuk selama 20 tahun selepas bersara. Hanya 27 peratus daripada ahli aktif KWSP mampu memenuhi keperluan penjimatan asas berbanding 36 peratus sebelum pandemik.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 walaupun keputusan yang sangat sukar kerana melibatkan simpanan hari tua, namun ia adalah jalan tengah dalam mengimbangi keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Bagaimanapun, ada beberapa syarat kelayakan dalam pengeluaran khas tersebut, antaranya KWSP menetapkan syarat pengeluaran bagi pencarum warganegara dan bukan warganegara serta pemastautin tetap berumur 55 tahun ke bawah dengan jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam akaun berkenaan.

Jumlah pengeluaran minimum RM50 dan maksimum RM10,000 tertakluk kepada baki simpanan akaun dua. Jika tidak mencukupi, akaun satu akan digunakan dengan meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam akaun tersebut.

“Bayaran pengeluaran khas tersebut diberi keutamaan berbanding pengeluaran lain dan pembatalan permohonan serta pindaan amaun tidak dibenarkan,” menurut KWSP.

Apa pun, rakyat masih mempunyai masa untuk berfikir sama ada ingin mengeluarkan wang berkenaan meskipun permohonan telah dibuka. Fikirlah sedalam-dalamnya.

Dalam persekitaran pemulihan ekonomi ketika ini, pengeluaran KWSP lebih elok digunakan ketika situasi kecemasan dan hanya sebagai ‘pilihan terakhir’.

Menurut pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, tarikh 1 April adalah satu paradigma baharu kepada corak kehidupan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, mereka harus menjalaninya dengan penuh tanggungjawab dan berdisiplin.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa Covid-19 masih belum terhapus. Apa yang dibuat kerajaan hari ini adalah untuk memberikan keselesaan dan kelonggaran kepada masyarakat yang sudah begitu lama tertekan,” kata Mohammad Shatar.

* Nurhazlin Lydia M Nazri ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!