'Terima kasih, selamat maju jaya Flandy'
PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia menzahirkan rasa terima kasih kepada jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele yang telah banyak membantunya terutama ketika memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menurut Aaron, meskipun baru menyumbang bakti selama dua tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jurulatih kelahiran Manado, Sulawesi Utara itu telah banyak membantu meningkatkan lagi mutu dan prestasi beregu lelaki negara.
“Saya nak ucap setinggi-tinggi terima kasih kepada coach Flandy atas jasanya yang telah banyak membantu saya dan Wooi Yik terutama ketika memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.
“Malah bukan itu sahaja, coach Flandy merupakan individu yang penting dalam bahagian beregu lelaki negara.
Saya rasa semua orang boleh lihat prestasi yang ditunjukkan pemain pelapis dan elit sepanjang dua tahun dia menjaganya.
“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada coach Flandy, semoga kita dapat bertemu pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Isnin, BAM mengesahkan bahawa jurulatih berusia 48 tahun berkenaan bakal meninggalkan badan induk itu berkuat kuasa 1 April selepas memutuskan untuk tidak menyambung kontrak meskipun sudah ditawarkan kontrak lanjutan.
Menurut Flandy, keputusan tersebut dibuat oleh selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky sambil memberitahu sekarang merupakan waktu yang tepat buat dirinya untuk mengundurkan diri daripada skuad badminton negara.
Dalam pada itu pasangan Aaron, Soh Wooi Yik dalam satu hantaran di Instagramnya turut mengucapkan terima kasih kepada Flandy sambil menyifatkan jurulatih tersebut sebagai seorang individu yang sangat merendah diri dan baik.
“Terima kasih kepada jurulatih yang sangat merendah diri dan baik untuk segala-segalanya,” tulis Wooi Yik sambil meletakkan gambarnya bersama Flandy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!