Peniaga Larkin Sentral teruja menanti kehadiran warga Singapura
JOHOR BAHRU - Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada Jumaat disambut dengan rasa syukur dan teruja oleh peniaga di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.
Peniaga yang menjual makanan, pakaian, aksesori wanita, kasut dan barang basah di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral mengakui kehadiran pengunjung dari Singapura akan merancakkan kembali aktiviti perniagaan yang sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19.
Peniaga, Abdul Wahab Sahibak, 56, berkata, golongan peniaga amat merindui suasana meriah di Larkin Sentral yang menjadi lokasi transit warga Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pilihan selepas keluar dari Tambak Johor.
"Perniagaan kedai runcit diusahakan keluarga sejak 30 tahun lalu kembali bernafas selepas kerajaan memutuskan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun saya yakin perniagaan akan lebih maju dengan pembukaan sempadan.
"Saya harap keadaan akan bertambah baik ketika Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti apabila jumlah pengunjung dari Singapura meningkat. Kami rindukan keadaan sebelum pandemik di mana ramai orang Singapura datang ke Larkin Sentral," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Peniaga bahulu, Shahrilnizam Mohamed, 51, sudah membuat persiapan awal dengan membeli bahan mentah bagi menyediakan lebih banyak adunan bahulu.
"Biasanya satu guni tepung seberat 25 kilogram digunakan sewaktu PKP kerana jumlah pelanggan sangat sedikit ketika itu. Tetapi bila sempadan hendak dibuka, saya yakin ramai orang Singapura yang akan datang ke Johor.
"Saya beli 250 kilogram tepung sebagai persediaan untuk membuat lebih banyak bahulu kerana jualan akan meningkat dengan kehadiran ramai warga Singapura ke Larkin Sentral," katanya.
Peniaga pakaian dan tukang jahit, Faridah Hanim, 56, berkata, sebelum pandemik Covid-19 ramai warga Singapura berbelanja di Larkin Sentral dan menempah pakaian di sini.
"Sewaktu PKP, tempahan pakaian yang diterima amat kurang. Sebelum pandemik dan penutupan sempadan, ramai juga warga Singapura tempah pakaian untuk saya jahit di sini.
"Semoga dengan pembukaan sempadan pada Jumaat aktiviti ekonomi peniaga kecil di Larkin Sentral akan kembali rancak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!