Agrobank sedia video ‘Resipi Ringkas Ramadan’
AGROBANK tampil dengan siri video ‘Resipi Ringkas Ramadan’ berdurasi satu minit yang dilancarkan sempena bulan Ramadan dengan pelbagai resipi warisan yang mudah disediakan.
Ketua Pegawai Pengurusan Kredit Agrobank, Zurina Othman berkata, bahan-bahan yang digunakan untuk resipi itu daripada produk pengusaha di bawah Agrobank sendiri.
Tambah beliau, resipi ringkas itu disediakan oleh cef selebriti, Cef Zam Akmal dengan menyediakan lapan buah resipi dalam masa singkat.
“Siri video Resipi Ringkas Ramadan ini diperkenalkan khusus untuk menyokong dan memperkenalkan produk-produk keluaran pelanggan Agrobank. Ia juga untuk memberi peluang kepada penonton menggunakan resipi yang dikongsi untuk tujuan perniagaan.
“Harapan kami agar resipi yang dikongsi dapat menjadi inspirasi buat usahawan untuk digunakan dalam menjana pendapatan di samping memberi idea untuk menu juadah berbuka puasa bersama keluarga,” katanya ketika Majlis Pelancaran Video Resipi Ringkas Ramadan di The Westin Kuala Lumpur, pada Khamis.
Program tersebut turut dihadiri, Cef Zam Akmal; Pengarah Urusan Nurtihah Enterprise, Sheikh Mohd Khalib, Sheikh Abdul Majid dan Pengarah Urusan Patin Paskal, Azmanadila Suhana Lokman.
Dalam pada itu, Zurina berkata, pelancaran video tersebut selari dengan visi Agrobank iaitu ‘pembiayaan melangkaui perbankan’.
Menurut Zurina, pihaknya tidak sekadar menyediakan wang untuk pengusaha tetapi juga memberi khidmat nasihat dan kolaboratif dengan agensi lain.
“Jadi ia satu cara khidmat nasihat untuk usahawan kita sendiri.
“Siri video kali ini menampilkan pelanggan kita sendiri, maka ia bukan sekadar memperkenalkan produk tetapi membantu mereka ke pasaran luar.
“Video kali ini lain sedikit sebab kita jadikan resipi baru daripada yang sedia ada seperti bahan keropok lekor dijadikan masak lemak bayam keropok lekor dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, program kali ini untuk mewujudkan kesedaran bahawa Agrobank bukan hanya sekadar bank tetapi ada manfaat lain untuk pelanggan.
“Sebenarnya kalau kita tengok, ada 10 video semua sekali. Lapan untuk juadah berbuka dan dua untuk hidangan raya.
“Sekiranya sambutan menggalakkan, kita boleh pelbagaikan lagi sebab ini percubaan pertama jadi kita nak lihat dahulu reaksi mereka macam mana dan ini adalah perkara baik yang boleh dilakukan untuk orang awam,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, siri masakan dikongsi itu juga secara tidak langsung dapat memberi impak yang positif dalam pemerkasaan sosial serta memacu meningkatkan kemampanan keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian.
“Saya percaya, pelanggan kami adalah agen yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk sama-sama menyokong perniagaan mereka.
“Menerusi pembikinan siri video masakan bersempena Ramadan ini, promosi produk-produk keluaran pelanggan kami dapat diperkenalkan dan usaha ini dapat membantu meningkatkan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Antara produk dan syarikat yang digunakan dalam video itu adalah Nurtihah Enterprise dengan produk Keropok Lekor Hulu Selangor, Mukmin Enterprise dengan tauhu telur, cincau dan bebola ikan, Nanas Waknur menerusi Nanas Yankee, 48 Salai Smoke House dengan produk itik salai, Patin Paskal Enterprise Frozen Patin Tempoyak dan Agro4me menerusi terung mini.
Resipi Ringkas Ramadan datang dengan lapan episod yang boleh ditonton menerusi media sosial Agrobank di Facebook dan Instagram bermula 2 April ini setiap Sabtu dan Ahad.
Selain itu, penonton juga boleh menonton video itu juga menerusi akaun Tik Tok Cef Zam Akmal pada setiap Rabu dan Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!