Selepas Chris Rock ditampar, polis sedia menahan Will Smith di Oscar
LOS ANGELES - Polis Los Angeles telah dikerah dan bersiap sedia untuk menahan pelakon terkenal, Will Smith ketika majlis Oscar pada Ahad lalu susulan tindakannya menampar hos Chris Rock, kata penerbit acara Hollywood itu pada Khamis.
Namun pihak berkuasa tidak mengambil tindakan selepas Rock memutuskan untuk tidak mendakwa Smith, kata penerbit Will Packer.
"Ketika itu semua menyatakan tindakan tersebut merupakan satu serangan, perkataan itu yang digunakan pada waktu itu.
"Kami telah bersedia untuk menahannya ketika itu," kata Packer ketika ditemu bual dalam rancangan ABC 'Good Morning America'.
Ketika siaran langsung majlis Oscar ke-94, Smith menaiki pentas selepas Rock membuat gurauan yang melibatkan isteri Smith lalu menamparnya.
Kurang sejam kemudian, Smith memohon maaf secara rasmi kepada pelawak tersebut ketika menerima anugerah Pelakon Terbaik untuk lakonannya dalam filem 'King Richard'.
Di belakang tabir, anggota polis melakukan perbincangan bersama Rock untuk tindakan yang harus diambil terhadap Smith, kata Packer.
Dalam ucapannya, Smith memohon maaf kepada Rock serta menyifatkan tindakannya itu sebagai "tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan". - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!