[VIDEO] Tiga rakan didakwa edar 119kg dadah
IPOH - Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah seberat 119 kilogram (kg) minggu lalu.
Tertuduh, G Agilan, 37; Rahisham Abdul Ghani, 35, dan Mohd Asrul Afandi Zulkifli, 32, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengedar methamphetamine seberat 119,705 gram dalam kawasan di Jalan Lahat, Simpang Pulai pada jam 11.20 pagi, 21 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Rajit Singh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada 24 Mac lalu melaporkan Polis Perak menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas 124kg bahan terlarang itu bernilai RM4.5 juta dalam lapan serbuan berasingan sekitar Ipoh dan Batu Gajah.
Dalam serbuan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya merampas 123.8kg syabu, heroin (0.1kg) dan ketamin seberat 0.15kg.
Sindiket berkenaan mulai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan membawa masuk bekalan dadah dari negeri di Pantai Timur untuk pasaran sekitar Perak.
@sinarharianonline Sindiket itu mula aktif sejak pertengahan tahun lalu #fyp#BuletinTikTok#TrendingNewsMalaysia#TikTokNews#Dadah original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!