Tangan ghaib punya kerja!
KEMAMAN - Fitnah kononnya ada usaha menjatuhkan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang tular di media sosial dipercayai didalangi tangan ghaib yang mahu mengucar-ngacirkan Kerajaan Negeri Terengganu yang ketika ini berada pada kedudukan paling stabil.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, ada tangan ghaib jahat yang mahu melihat kerajaan negeri jatuh kerana sejak selepas PRU14 lalu, setakat ini pentadbiran Terengganu dilihat paling stabil.
"Kalau di peringkat negara sekali pun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada beri teguran kepada beberapa menteri.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu guling MB Terengganu, ini kata Exco...]
"Tetapi di Terengganu tidak berlaku perkara sedemikian dan kesemua Exco kerajaan negeri bekerja mengikut bidang tugas masing-masing," katanya mengulas mengenai isu itu yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.
Adun Chukai itu juga menyifatkan fitnah itu ditularkan ekoran mainan mereka yang dengki dan mahu melihat kredibiliti menteri besar jatuh.
"Cerita yang disebarkan rekaan semata-mata, tidak ada perbalahan atau perbezaan pendapat antara menteri besar dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada dalam royalti minyak atau hal urus tadbir negeri," katanya.
Malah, tegas Hanafiah, semua 10 barisan Exco kerajaan negeri setia berada di belakang menteri besar.
"Tidak ada sedikit pun kami yang duduk di kerusi Exco berbincang untuk menolak menteri besar. Kami bersama-sama memberi sokongan dan sama-sama membangunkan Terengganu sebagaimana slogan negeri iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!