Che Ta elak pakai baju ketat, seksi
MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam adalah wajib namun ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh Islam.
Bahkan ditekankan lagi ayat-ayat mengenai suruhan menutup aurat menerusi Surah al-Ahzab.
Justeru pelakon popular, Rozita Che Wan atau lebih dikenali Che Ta memberitahu sejak awal tahun ini dia lebih gemar memakai pakaian yang tidak menampakkan sosok tubuh badannya.
Ini kerana dia mahu berpakaian mengikut syariat Islam.
Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata kepada Sinar Harian, dia berasa tidak selesa apabila bertudung namun pemakaian hariannya tidak mencerminkan imej muslimah yang sebenarnya.
“Saya tidak mahulah sekadar balut aurat semata-mata tetapi hakikatnya sama seperti melakukan dosa tidak menutup aurat.
“Insya-ALLAH saya akan perlahan-lahan menuju ke arah kebaikan dan apa yang penting adalah istiqamah dalam melakukan sesuatu,” ujarnya tegas.
Terdahulu pelakon Lelaki Kiriman Tuhan ini mengakui dia berasa malu apabila mengenakan pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan meski sebelum ini dia berasakan tiada salah kerana tidak mendedahkan aurat.
Menurutnya, penghijrahan seorang itu tidak berlaku sekelip mata akan tetapi ia mengambil sedikit masa untuk berubah.
Rakan-rakan dan adik-beradik antara pengaruh terdekat dalam proses pembelajaran untuk menutup aurat dengan sempurna.
"Bila kita nak berhijrah, kita kena dikelilingi orang yang betul.
"Macam nak pakai tudung, kita kena berkawan dengan kawan-kawan yang bertudung supaya dapat terus istiqamah.
"Bila adik-beradik pun pakai tudung, kita pun akan saling menegur antara satu sama lain untuk berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
"Lama-lama akan terasa malu. Ikhlas atau tidak menutup aurat adalah wajib," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!