Bomba tingkat siap siaga hadapi kebakaran hutan
PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan kebakaran hutan dan tanah gambut berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata kekuatan anggota dan keperluan logisitik di beberapa negeri yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran telah ditambah selain cuti anggotanya dihadkan untuk perkara tertentu sahaja.
"Semua balai bomba yang berdekatan dengan kawasan-kawasan berisiko telah dibekalkan dengan peralatan dan kelengkapan yang bersesuaian bagi menangani kes kebakaran,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan JBPM di sini hari ini.
Menurutnya, kelengkapan alat pemadaman kebakaran hutan yang mudah dibawa serta berkuasa tinggi telah diletakkan di balai tertentu untuk dikerahkan ke tempat kebakaran, selain hos dengan muncung khas yang boleh menembusi tanah-tanah gambut untuk kerja pemadaman kebakaran bawah tanah yang lebih berkesan.
Mohamad Hamdan berkata helikopter juga telah disediakan di pangkalan udara di Subang, Selangor; Bertam, Pulau Pinang; serta Miri, Sarawak, sekiranya kaedah pemadaman bom air diperlukan untuk mengawal kebakaran.
Menurutnya, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu serta Sabah dan Sarawak antara negeri dikesan mempunyai sehingga lima tompok panas (kawasan khas) kebakaran yang memerlukan pemantauan rapi.
JBPM juga telah memohon kerjasama daripada syarikat pengurusan air serta Jabatan Pengairan dan Saliran di negeri-negeri berkenaan bagi membantu menyediakan kemudahan aliran air, terutamanya di kawasan yang sukar dimasuki jentera bomba, katanya.
Mohamad Hamdan berkata kesiapsiagaan itu turut dipertingkatkan susulan peningkatan kadar panggilan kecemasan berkaitan kebakaran yang diterima dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Daripada 1,941 yang diterima pada Januari, bilangan panggilan kecemasan melibatkan kebakaran kebun, ladang, hutan, belukar dan lalang serta kebakaran sampah kini meningkat kepada 5,823 panggilan, katanya.
Terdahulu, Mohamad Hamdan menyaksikan pertukaran tugas dan kenaikan pangkat melibatkan lapan pegawai kanan jabatan itu, antaranya bekas Timbalan Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon dilantik sebagai Pengarah JBPM Kedah, sekaligus menjadi wanita pertama diberikan tanggungjawab tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!