Nestle bantu 10 rumah jagaan warga emas

Warga emas dari Rumah Charis menerima sumbangan daripada Maggi.
Warga emas dari Rumah Charis menerima sumbangan daripada Maggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Nestle Malaysia Berhad (Nestle) berjaya mengumpulkan lebih RM80,000 menerusi Kempen Tahun Baharu Cina, Maggi Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah dan disumbangkan kepada 10 rumah jagaan warga emas di seluruh Malaysia.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé, Geetha Balakrishna berkata, sempena menyambut Tahun Baharu Cina, Maggi memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu kepada warga emas sebagai satu tanda penghargaan.

Menurutnya, inisiatif tanggungjawab sosial korporat Nestlé sempena kempen itu menyaksikan Nestlé menyumbang 10 sen untuk setiap penyertaan peraduan yang diterima daripada orang ramai menjadikan jumlah sumbangan mencecah RM81,000.

"Kami berharap sumbangan ini akan menambah keceriaan mereka di musim perayaan, menggamit memori kenangan manis mereka bersama yang tersayang dan sewaktu zaman muda. Kami berbesar hati melihat ramai rakyat Malaysia turut menyokong kempen ini untuk menyumbang kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Geetha berkata, Nestlé membantu warga emas di rumah jagaan terbabit untuk memahami dan mengenalpasti keperluan mereka seperti bekalan makanan, keperluan rumah, kerusi roda, tilam, dan peralatan elektrik termasuk ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi.

"Beberapa buah rumah ini juga mengalami kerosakan harta benda akibat banjir besar pada Disember tahun lalu dan memerlukan sokongan dalam menaik taraf dan membaikpulih kemudahan kediaman mereka.

"Selaras dengan janji jenama kami, Anda dan Maggi Sajikan Kelainan, kami juga telah menyumbang pelbagai bekalan makanan ke rumah-rumah jagaan warga emas ini. Kami percaya bahawa makanan yang disediakan sendiri di rumah mampu membawa kebaikan dan perubahan positif kepada para penghuni rumah tersebut serta komuniti,” tambah Geetha.

Menurutnya, 10 buah rumah jagaan warga emas yang dipilih untuk menerima sumbangan termasuklah Rumah Charis, Pusat Jagaan Wargamas Air Tenang, Rumah Orang Tua Sahana dan Noble Care di Lembah Klang; Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-orang Tua Islam Titian Abadi dan Darul Hanan di Pulau Pinang; Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya di Johor; Mesra Homecare Centre di Kelantan dan Pusat Penjagaan Orang Tua Grannnies di Pahang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!