Sindiket pemerdagangan orang jerat warga tempatan jadi 'scammer'

 Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sindiket pemerdagangan orang yang mengeksploitasi warga tempatan dan diperdaya untuk dijadikan sebagai 'scammer' di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang tahun lalu hingga Mac tahun ini, Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman menerima enam laporan berhubung kes terbabit melibatkan 24 lelaki dan dua wanita.

Menurutnya, kesemua mangsa itu masih memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket terbabit dan polis percaya masih terdapat mangsa yang masih tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa dengan iklan peluang pekerjaan di media sosial Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi Wechat, WhatsApp atau Facebook dan selepas bersetuju dengan syarat ditetapkan, ejen menjanjikan untuk mengurus serta menanggung segala kos perbelanjaan ke destinasi pekerjaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, negara yang dikesan adalah Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Katanya, setelah tiba di negara yang dijanjikan, semua dokumen perjalanan mangsa termasuk telefon bimbit akan dirampas dan dimusnahkan.

"Pergerakan mangsa juga dikawal dan mereka dikurung dengan kawalan ketat. Mangsa seterusnya dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk di Kemboja; Mae Sot, Thailand; Vientiane, Laos dan Kayin State, Myanmar.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa sedar telah diperdaya setelah dipaksa untuk melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, scammer, pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan lain-lain penipuan," katanya.

Tambah Abd Jalil, mangsa juga tidak dibenarkan untuk pulang ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran syarikat.

Jelasnya, sekiranya ingin kembali, mangsa diminta untuk membayar ganti rugi semua kos berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 setiap seorang.

"Sindiket ini merupakan satu rangkaian jenayah rentas sempadan dan mempunyai rangkaian luas. Kita akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa.

"PDRM juga akan kolaborasi dengan Kementerian Luar Negeri bagi membantu percepat proses menyelamat mangsa," katanya.

Tegasnya, pihaknya sedang mengenal pasti ejen yang bertanggungjawab membuat tawaran kerja dan transporter yang terlibat untuk menguruskan mangsa ke destinasi tertentu.

"Justeru, PDRM menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dengan tawaran kerja dan gaji lumayan di luar negara. Masyarakat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!