Buka sempadan: Kasih ibu dan anak bertaut kembali
BUKIT KAYU HITAM - Suasana sedih menyelubungi sempadan Malaysia-Thailand di sini pada Jumaat setelah ibu dan anak yang terpisah kira-kira lima bulan lalu bertemu semula pada hari pertama pembukaan sempadan.
Jururawat, Noor Asyikin Bunnawi, 31, berkata, dia yang tinggal di Shah Alam sanggup menempuhi perjalanan beratus kilometer untuk menyambut ketibaan ibunya Siti Zubaidah Acara Abdullah,62 di sempadan Malaysia-Thailand di sini.
Katanya, ibunya pulang ke kampung mereka di Trang selepas mendapat berita kematian neneknya pada Oktober lalu.
"Selepas itu, pelbagai usaha telah kami lakukan tetapi tidak berjaya untuk membawa pulang semula ibu ke Malaysia," katanya ketika ditemui di pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini pada Jumaat.
Menurutnya, ibunya sebelum ini tinggal bersama dengannya dan mereka tidak pernah berpisah dalam tempoh yang lama.
"Hari ini adalah detik istimewa yang sangat dinanti-nantikan oleh saya dan ibu. Selepas habis kerja malam saya terus bersengkang mata bergerak ke sini untuk berjumpa ibu," katanya.
Noor Asyikin menambah, dia juga tidak dapat melelapkan mata malam tadi kerana risau mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilalui.
"Tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya tak sangka ia semudah ini saya juga dibenarkan menjemput ibu di pintu sempadan atas faktor kesihatan ibu," katanya.
" Alhamdulillah saya juga bersyukur kerana dapat menyambut bulan Ramadan bersama ibu tersayang pada Ahad ini," katanya.
Sementara itu, guru agama, Azman Ismail, 27, berkata, dia turut mengambil kesempatan ini untuk menziarahi saudara di Selangor setelah dua tahun tidak berbuat demikian akibat penutupan sempadan.
"Saya berasal dari Pattani, Thailand dan akan berkunjung ke Selangor untuk tempoh tiga minggu untuk berjumpa dengan sanak-saudara di sini," katanya.
Menurutnya, selepas memasuki Malaysia dia perlu menjalani ujian pantas RTK-Ag (RTK) dalam tempoh 24 jam.
"Saya rasa sangat gembira sebab dah lama tak balik, lebih manis kali ini dapat sambut Ramadan dengan keluarga di sini," katanya yang akan menaiki bas di Stesen Bas Changlun untuk meneruskan perjalanan ke Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!