PPZ-MAIWP galak pembayar zakat guna saluran 'online'
KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) buat julung kalinya menawarkan hadiah kepada pembayar zakat fitrah yang membuat pembayaran secara dalam talian menerusi portal fitrah.zakat.com.my.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, inisiatif di bawah kempen 'Ramadan Penuh Makna' bermula 3 April hingga 2 Mei itu bagi menggalakkan pembayar zakat menggunakan saluran secara dalam talian berbanding kaedah bersemuka dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Menurutnya, hadiah ditawarkan termasuk telekung dan sejadah ekslusif, jam tangan serta baucer makanan kepada lebih 500 pemenang bertuah.
"PPZ-MAIWP turut menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi mereka yang menunaikan zakat harta sepanjang Ramadan ini antaranya pakej umrah dan ziarah selain hadiah mingguan seperti simpanan Tabung Haji, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
"Sepanjang Ramadan juga, pihak kami turut menyediakan program menarik seperti Jom Ngaji, Mencari Lailatul Qadar, pengisian ilmiah, kuiz dan pertandingan," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ di sini, pada Jumaat.
Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sepanjang Ramadan sebanyak RM136 juta meliputi RM130.7 juta zakat harta dan RM5.3 juta bagi zakat fitrah melibatkan 330,500 pembayar zakat sepanjang Ramadan ini .
"Kita yakin sasaran itu mampu dicapai kerana PPZ-MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna dan tiada alasan bagi orang tidak menunaikan kewajipan tersebut.
"Kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka setiap hari sepanjang Ramadan termasuk cuti umum bermula jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang kecuali pada akhir Ramadan iaitu dari jam 8.15 pagi hingga 1 petang," katanya.
Ujarnya, istimewa Ramadan pada kali ini pihaknya juga menyediakan medium komunikasi secara virtual dengan pembayar zakat menerusi aplikasi Google Meet di https://meet.google.com/pon-bygc-gta.
Tambahanya, orang awam boleh menggunakan kemudahan tersebut antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari bagi mengemukakan sebarang pertanyaan tanpa perlu berurusan di kaunter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!