Urusan di KWSP lancar, tak perlu tunggu lama
MELAKA - Rata-rata pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negeri ini menzahirkan rasa lega apabila dibenarkan membuat permohonan pengeluaran khas RM10,000 bermula pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian di Bangunan KWSP di Jalan Lingkaran MiTC Ayer Keroh, di sini, mendapati orang ramai pelbagai bangsa dan peringkat umur datang ke bangunan itu seawal jam 8 pagi.
Bekas juruteknik kilang, Mohd Azlan Maskar, 33, berkata, pengeluaran khas itu dapat membantunya meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan dua orang anak berusia sembilan tahun dan 10 bulan selepas diberhentikan kerja baru-baru ini.
Katanya, dia datang ke bangunan itu kira-kira jam 8.15 pagi dan keadaan begitu lancar malah KWSP juga menyediakan banyak kaunter bagi membolehkan orang ramai berurusan dengan cepat dan mudah.
"Saya datang ke bangunan ini sebab nak dapatkan semula kata laluan bagi i-Akaun yang terlupa.
"Walaupun orang ramai, saya tidak menunggu lama dan sistem nombor giliran berjalan lancar," katanya yang menetap di Bukit Beruang.
Bagi operator kilang, R S Serotha, 54, dia terpaksa datang ke KWSP untuk mendapatkan penyata akaun dan membuat permohonan di kaunter yang disediakan.
Menurutnya, pengeluaran khas KWSP benar-benar membantunya untuk menyelesaikan tunggakan rumah sebanyak RM23,000, tambahan suami tidak bekerja dan masih menanggung anak belajar di kolej.
"Sebelum ini saya runsing mana nak cari wang sebanyak itu. Bila dapat tahu berita baik ini walaupun bertongkat saya tak lepaskan peluang ke sini demi untuk selamatkan rumah saya daripada dilelong bank," katanya.
Suri rumah, Maznom Murad, 34, pula berkata, dia diberhentikan kerja pada awal pandemik Covid-19 dan pendapatan suaminya yang memasang khemah di majlis-majlis perkahwinan juga terkesan dan berkurangan.
"Jadi sekurang-kurang pengeluaran wang ini dapat kami bayar hutang yang tertunggak.
"Lagipun saya sedang mengandung anak pertama dan tentu banyak wang yang akan digunakan dalam tempoh bersalin nanti," katanya yang sedang hamil enam bulan.
Bagi Qistina Ahmad Raya, 20, dengan pengeluaran itu dapat membantu perbelanjaan sara hidup kerana dia baru diberhentikan kerja sebagai operator kilang di Krubong.
"Memang membantu, dapatlah saya gunakan sementara untuk mencari pekerjaan baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!