Peruntukan RM184.4 juta selesai air di Pahang
KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) memperuntukkan RM184.4 juta sebagai penyelesaian jangka masa panjang sistem bekalan air di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan menggunakan keseluruhan peruntukan itu, Paip akan memberi fokus kepada penyelesaian sistem bekalan air khususnya di kawasan tumpuan yang mengalami masalah bekalan air dan menambah kapasiti rizab pengeluaran beberapa loji rawatan air (LRA) di negeri ini.
Menurutnya, semua peruntukan itu akan dibelanjakan pada tahun ini membabitkan lebih 70 projek di seluruh Pahang.
“Antara projek tersebut ialah projek memasang paip sepanjang 35 kilometer dari LRA Keloi sehingga ke Kampung Ulu Atok di Raub yang bernilai RM12 juta dan projek ini dijangka siap pada suku kedua tahun 2023. Kemudian, projek menaik taraf sistem bekalan air di Felda Sungai Retang, Jerantut (RM3.4 juta), projek ini akan siap pada November depan dan projek menaik taraf sistem bekalan air di Pekan Awah bernilai (RM5.2 juta) dijangka tender pada Jun 2022.
“Bgai projek membina, menyiap, dan menauliah pemasangan tangki sedutan dan rumah pam di Perantau Damai, Rompin pula berjumlah RM346,000, projek penambahbaikan bekalan air di Taman Bukit Koman, Raub (RM353,000) serta projek menaik taraf sistem bekalan air di Kawasan Jalan Bukit Damar–Kampung Bolok Hilir, Lanchang dengan peruntukan RM1.2 juta. Kesemua projek akan siap pada Mei dan Oktober tahun ini," ujarnya.
Menurutnya, bagi cadangan penggantian paip hantaran baru dari HDPE kepada MSCL 200mm dari loji ke rumah pam PPSK Sri Makmur, Pekan pula berjumlah RM3 juta sepanjang 8.5 kilometer.
"Projek itu akan ditender pada Jun depan manakala bagi cadangan pemasangan paip baharu dari Simpang Koyan ke Kampung Tanjung Gahai di Jelai (RM4 juta), projek tersebut akan ditender pada April tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Wan Rosdy menjelaskan peruntukan terbabit turut melibatkan penggantian pam baharu di seluruh negeri ini dengan melibatkan kos sebanyak RM12.1 juta.
Tambahnya, penggantian pam dan kerja-kerja berkaitan di rumah Pam Kobat, Kuantan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM23 juta.
"Lima pam pertama dijangka akan siap dipasang pada Ogos depan. Ini akan meningkatkan kapasiti air mentah ke Loji Rawatan Air Semanbu Fasa 1 dan 2.
“Cadangan projek membekal dan memasang paip jenis Mild Steel bersaiz 200mm dari Tangki Imbangan Jenderak Utara ke Kampung Paya Luas, Kuala Krau melibatkan kos RM1.2 juta sepanjang 4 kilometer.
“Seterusnya, membekal dan memasang kabel Amoured dari Motor Control Centre ke muka sauk LRA Bera Kompleks pula membabitkan peruntukan RM250,000,” katanya.
Wan Rosdy berkata, peratusan kawasan tumpuan yang mengalami masalah bekalan air di negeri ini melibatkan hanya 4.37 peratus iaitu 20,000 akaun.
Selain itu, beliau memaklumkan terdapat pelbagai inisiatif tambahan yang dilaksanakan Paip bagi menambah kapasiti air di seluruh Pahang.
Katanya, inisiatif tambahan ini dianggarkan bernilai RM1 bilion dan sebagainya persediaan kerajaan Pahang akan menerima pelabur-pelabur baru bagi memastikan kerja menaik taraf sistem bekalan air dapat dilakukan.
Jelasnya, antara inisiatif tambahan yang akan dilakukan adalah dengan pembinaan kompleks bekalan air Kuantan yang menyasarkan bekalan sehingga 400 juta liter sehari.
"Kompleks ini akan menjadi LRA yang terbesar di pantai timur dengan menggunakan peruntukan RM800 juta dan dijangka siap pada tahun 2026. Pembinaan saluran bekalan air antara negeri (Kemaman-Gebeng) yang membekalkan sehingga 90 juta liter sehari dan projek ini dijangka siap pada suku ketiga tahun 2023 dengan menelan peruntukan berjumlah RM120 juta.
"Seterusnya, projek naik taraf rumah pam kobat, Kuantan (RM23juta) akan siap penghujung tahun ini dapat meningkatkan bekalan sehingga 60 juta liter sehari. Projek naik taraf Loji LRA Merapoh, Lipis, (RM35 juta) yang akan ditender pada Julai 2023.
"Projek naik taraf loji rawatan Mela dan kerja-kerja yang berkaitan melibatkan peruntukan berjumlah RM47 juta. Ketika ini, kerja-kerja perunding sedang dijalankan dan akan ditender hujung 2022. Bagi projek Loji Baru Lanchang, peruntukan bernilai RM100 juta seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan status semasa adalah peringkat awal penentuan skop di mana peruntukan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Paip," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!