Indeks jenayah negara turun 38 peratus

Razali (kiri) menyerahkan tugas Ketua Polis Melaka kepada Zainol disaksikan Aidi (tengah) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Bukit Beruang pada Jumaat.
Razali (kiri) menyerahkan tugas Ketua Polis Melaka kepada Zainol disaksikan Aidi (tengah) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Bukit Beruang pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Indeks jenayah negara menunjukkan penurunan sebanyak 38 peratus atau 5,199 kes bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Aidi Ismail berkata, bagi tempoh itu sebanyak 8,484 kes direkodkan berbanding nilai ambang sebanyak 13,683 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu, jenayah kekerasan mencatatkan 1,622 kes berbanding nilai ambang sebanyak 2,969 kes.

Katanya, jenayah indeks harta benda pula merekodkan 6,862 kes berbanding nilai ambang yang disasarkan sebanyak 10,714 kes.

"Hasil analisis mendapati jenayah indeks harta benda menunjukkan penurunan di bawah nilai ambang sebanyak 36 peratus atau bersamaan 3,852 kes.

"Antara faktor penurunan jenayah indeks kerana sekatan pergerakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Bukit Beruang di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Razali Abu Samah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aidi berkata, bagi memastikan kadar jenayah berkurangan selepas negara beralih ke fasa peralihan endemik, pihaknya akan berterusan melakukan pencegahan jenayah termasuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan 'hotspot' dan kawasan perumahan.

Menurutnya, rondaan menerusi pasukan mobile patrol vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga akan ditingkatkan bukan sahaja di kawasan perumahan malah kawasan penempatan, perniagaan dan sasaran bermaklumat.

"Inisiatif Go To Safety Point (GTSP) diperluaskan dan dipergiatkan lagi di stesen-stesen petrol seluruh negeri," katanya.

Pada majlis itu, Zainol yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Melaka pada tahun 2003 hingga 2005 bersyukur dapat berkhidmat semula ke negeri bertuah ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!