KPDNHEP tingkat pemantauan harga di bazar Ramadan

KPDNHEP akan meningkatkan aktiviti pemantauan harga barangan dan makanan di bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang bulan puasa ini. Gambar hiasan.
KPDNHEP akan meningkatkan aktiviti pemantauan harga barangan dan makanan di bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang bulan puasa ini. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan aktiviti pemantauan harga barangan dan makanan di bazar Ramadan di seluruh negara sepanjang bulan puasa ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini berkata aktiviti pemantauan tersebut akan dibuat secara masa nyata melibatkan 72 pusat arahan penguatkuasaan (ECC) yang menerima maklumat secara langsung supaya dapat mengenal pasti masalah dalam masa singkat.

"Kira-kira 2,000 anggota penguatkuasaan beruniform dan 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditempatkan di semua bazar Ramadan dalam perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PJKM WPKL) Ramadan 2022 di sini.

Dalam pada itu, Nanta berkata bekalan barangan serta makanan dijamin stabil sepanjang bulan Ramadan sekali gus tidak akan mengakibatkan situasi kenaikan harga barang dan tiada tekanan yang menyebabkan harga barang naik.

Sementara itu, Nanta berkata PJKM WPKL Ramadan 2022 akan bermula Ahad ini hingga 2 Mei depan, dengan kolaborasi bersama 15 pemain industri dari sekitar Kuala Lumpur yang juga Rakan Strategik Sektor Peruncitan PJKM WPKL Ramadan 2022.

"Sepanjang Ramadan ini, 12 barangan terpilih dari Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) akan difokuskan, antaranya ayam hidup, telur ayam pelbagai gred serta sayuran," katanya.

Antara 15 rakan strategik PJKM WPKL Ramadan 2022 termasuk AEON Mall Metro Prima, Lotus Kepong, Econsave Scott Garden dan NSK Trade City (KL) Sdn Bhd.

Barangan keperluan harian seperti ayam, makanan laut, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras ditawarkan dengan harga hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!