Enam loji rawatan alami kekurangan air: SPAN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam loji rawatan air (LRA) di Kedah, Johor, Kelantan dan Pahang mengalami kekurangan sumber air berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi satu kenyataan berkata, susulan itu juga LRA yang terlibat terpaksa mengurangkan pengeluaran air dan menyebabkan berlaku gangguan bekalan di beberapa kawasan terlibat.

“Pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah meminta semua operator air di negeri-negeri yang terlibat membuat tindakan proaktif untuk memantau keadaan semasa kedudukan sumber air mentah yang dibekalkan ke LRA.

“Pemantauan ini perlu bagi memastikan supaya pengoperasian semua loji dapat dilanjutkan bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disalurkan kepada pengguna.

“Selain itu, semua operator air negeri yang terlibat dalam pelaksanaaan bekalan air berjadual diminta untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi kepada pengguna sama ada melalui paip agihan atau lori tangki mengikut perancangan yang diluluskan SPAN,”kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak operator boleh menambah bilangan tangki melalui sewaan atau pinjaman jika kemudahan lori tangki sedia ada tidak mencukupi.

“Operator air juga hendaklah berusaha untuk memastikan bekalan air melalui sistem agihan atau lori tangki air kepada pengguna-pengguna kritikal seperti hospital dan pusat dialisis tidak terputus,”katanya.

Dalam pada itu, SPAN juga akan terus memantau status bekalan air yang dihadapi oleh pengguna dan memastikan bantuan bekalan air sampai kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Di samping itu juga, semua pengguna digesa supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber yang ada akan dapat bertahan lebih lama serta memastikan sumber air tidak tercemar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!