MAIK galak rakyat dapat vaksin menerusi khutbah Jumaat, kuliah solat

Tengku Mohamad Rizam (dua dari kanan) berkenan menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Razaleigh, Gua Musang pada Jumaat.
Tengku Mohamad Rizam (dua dari kanan) berkenan menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Razaleigh, Gua Musang pada Jumaat.
A
A
A

GUA MUSANG - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan terus menggalakkan rakyat di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan memberi penekanan mengenai kepentingan berbuat demikian menerusi khutbah Jumaat dan kuliah solat fardu.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu dilakukan memandangkan kadar pemberian vaksin Covid-19 di Kelantan merupakan antara yang terendah di negara ini.

“Jumlah penerima dos penggalak dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) rakyat di negeri ini masih lagi rendah berbanding negeri lain.

“Sebelum ini, kita sudah pun menyampaikan maklumat mengenai manfaat pemberian vaksin Covid-19 kepada para jemaah bukan sahaja ketika khutbah solat Jumaat malah dalam kuliah solat fardu juga dan akan dilakukan secara berterusan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh kepada MAIK di sini pada Jumaat.

Beliau turut berkenan menunaikan solat Jumaat pertama bersama lebih 3,000 jemaah di masjid berkenaan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Jajahan Gua Musang, Ab Pattah Hasbullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa sama, rakyat masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir di masjid-masjid dengan membawa sejadah sendiri walaupun sudah tidak ada penjarakan fizikal.

“Buat masa ini kita tidak hadkan kehadiran jemaah dan bergantung kepada kapasiti sesebuah masjid.

Artikel Berkaitan:

“Bagi keraian atau majlis berbuka puasa, juadah perlu disediakan secara bungkus bagi menggelak penularan Covid-19 pada fasa endemik ini,” kata beliau.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sedang mempertimbang untuk menguar-uarkan maklumat berkaitan kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 melalui khutbah Jumaat serta kuliah pengajian agama di negara ini.

Langkah turut dicadangkan khusus pada negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu yang peratusan vaksin penduduknya masih rendah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!