3,000 solat Jumaat pertama di Masjid Razaleigh

Masjid Razaleigh bernilai lebih RM34 juta dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram. - Foto MAIK
Masjid Razaleigh bernilai lebih RM34 juta dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram. - Foto MAIK
A
A
A

GUA MUSANG - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan bersama lebih 3,000 rakyat termasuk orang asli menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Razaleigh yang baharu di sini pada Jumaat.

Solat ditunaikan selepas masjid yang berinspirasikan model Masjidil Haram Makkah berkenaan secara rasminya diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada hari sama.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua MAIK berkata, pembinaan Masjid Razaleigh berkeluasan 70,000 kaki persegi itu bernilai lebih RM34 juta dan mampu menampung kapasiti lebih 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

“Pembinaan masjid ini diharap menjadi pemangkin kepada kesatuan ummah dan boleh meningkatkan syiar Islam di mata masyarakat.

“Selain tempat melaksanakan rukun Islam, masjid juga medan muamalat dalam Islam yang dapat menyatupadukan seluruh umat tanpa mengira bangsa dan keturunan kerana semua sujud pada yang Maha Esa,” katanya pada Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh di Bandar Lama di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu dilakukan simbolik penyerahan replika kunci masjid daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Razaleigh Ab Aziz Yusoff kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.

Simbolik penyerahan replika kunci Masjid Razaleigh daripada Ab Aziz kanan) kepada Zulkifle (dua dari kiri) di saksikan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) dan Tengku Razaleigh (dua dari kanan). - Foto MAIK
Simbolik penyerahan replika kunci Masjid Razaleigh daripada Ab Aziz kanan) kepada Zulkifle (dua dari kiri) di saksikan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) dan Tengku Razaleigh (dua dari kanan). - Foto MAIK

Hadir sama, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Jajahan Gua Musang, Ab Pattah Hasbullah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyerahan masjid itu bertepatan sempena sambutan Ramadan pada tahun ini pada Ahad ini yang akan membolehkan ibadah dilaksanakan demham lebih selesa di masjid unik itu.

“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat termasuk agensi persekutuan, negeri dan orang persendirian khususnya Jawatankuasa Pembangunan Masjid Razaleigh yang membina sebuah masjid istimewa ini.

“Semua dijemput mengimarahkan Masjid Razaleigh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti membawa sejadah sendiri ketika memasuki fasa endemik ini,” katanya.

Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang. - Foto MAIK
Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang. - Foto MAIK

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, pembukaan masjid berkenaan akan dapat menampung jumlah penduduk di Gua Musang yang kini berjumlah 20,000 penduduk.

“Kita masih lagi menunggu replika kaabah masjid yang belum tiba kerana kelewatan akibat pandemik Covid-19.

“Sambutan baik terhadap pembinaan masjid ini dapat dilihat dengan kehadiran orang ramai yang amat teruja menunaikan solat Jumaat pertama pada hari ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!