Tukar Exco: Rujuk Pengerusi PKR Perak, kata Kar Hing
TAIPING - "Cadangan tukar Exco (Kerajaan Perak)? Sila rujuk Pengerusi PKR negeri (Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak)," demikian kenyataan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing dari PKR.
Beliau diminta mengulas mengenai tuntutan PKR Perak yang jelas bertegas mahukan pertukaran Exco Kerajaan Negeri dilakukan sambil mendakwa cadangan itu telah dibincangkan bersama Presiden PKR dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.
Terdahulu, Farhash Wafa Salvador berkata, perbincangan sebanyak dua kali telah dilakukan bersama Ahmad Faizal.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal kemudiannya dalam satu kenyataan menegaskan pertukaran tidak perlu kerana semua Exco bekerja dengan baik.
Kar Hing berkata, pihaknya enggan mengulas isu itu kerana cadangan itu bukan daripada pihaknya.
Ditanya mengenai suasana perjalanan mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu ini, Kar Hing menegaskan ianya berjalan dengan sangat baik dan lancar.
"Mesyuarat Exco baru ini berjalan sangat baik, lancar.
"MB (Ahmad Faizal) pun ok, tiada masalah," katanya kepada media di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Perang mulut MB vs Pengerusi PKR: Hanya ribut dalam cawan
Sementara itu, Ahmad Faizal dalam satu kenyataan media semalam menegaskan cadangan mengenai pertukaran Exco kerajaan negeri daripada PKR Perak perlu dibawa dalam perbincangan pucuk pimpinan parti itu dan bukannya melalui pemimpin di peringkat negeri.
Menurutnya, nama dicadangkan pemimpin PKR pusat itu kemudiannya akan diberikan kepadanya untuk dibuat pertimbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!