24 PATI warga Myanmar ditahan ketika sembunyi rumah transit
KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 22 lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar yang sedang nyenyak tidur ketika disembunyikan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai transit penyeludupan migran di Bunut Payung di sini awal pagi tadi.
Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Briged Tenggara dan Batalion 9 PGA pada jam 2.15 pagi.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan migran, pasukan membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Lorong Sekolah Bunut Payung yang dipercayai dijadikan transit sementara penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di dalam premis tersebut, pihak polis menjumpai 22 lelaki warganegara Myanmar berusia antara 18 tahun hingga 41 tahun.
“Turut ditemui, dua wanita warga Myanmar berusia 22 tahun dan 24 tahun dipercayai disembunyikan sementara menunggu untuk dibawa ke destinasi lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua individu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit perjalanan yang sah.
“Mereka dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu melalui pangkalan haram di sempadan negara Malaysia-Thailand.
“Hasil siasatan awal, kesemua individu ini dikenakan bayaran sebanyak RM4,000 oleh ejen yang menguruskan perjalanan mereka dari negara Myanmar hingga ke Malaysia dan dipercayai akan dibawa ke Pulau Pinang bagi pekerjaan yang belum pasti,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
“Masyarakat diminta memberi kerjasama untuk menyalurkan sebarang bentuk maklumat kepada polis berkaitan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!