Masjid Kristal kembali operasi selepas ditutup empat tahun
KUALA TERENGGANU - Orang ramai dialu-alukan untuk mengimarahkan Masjid Kristal yang kini kembali beroperasi selepas ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih sejak empat tahun lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, penutupan masjid yang pernah diiktiraf sebagai masjid ketiga tercantik di dunia itu sebagai langkah keselamatan sepanjang proses pembaikan.
"Kita menutup sementara Masjid Kristal kepada pengunjung untuk memberi laluan kepada proses pembaikan secara menyeluruh yang dijalankan secara berperingkat sejak 2018.
"Setakat ini proses baik pulih masjid sudah memasuki 80 peratus dengan kos RM700,000. Selepas berbincang dan membuat penilaian terutama keselamatan, kita setuju untuk buka semula masjid ini bermula Ramadan ini," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Jumaat.
Menurut Ariffin, antara proses baik pulih dilakukan meliputi penggantian kubah yang pecah, penggantian silikon dan 'water proofing' pada atap rata masjid.
"Kerja-kerja pembaikan diteruskan pada 2021 melibatkan pembaikan 'parapet wall', siling dalam dan luar serta kerja-kerja pendawaian elektrik yang dijalankan oleh kontraktor dilantik mengikut peruntukan kerajaan negeri," katanya.
Dalam pada itu Ariffin berkata, Masjid Kristal yang mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu akan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan kali ini.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk menyemarakkan sambutan Ramadan di Masjid Kristal kerana banyak program dan aktiviti disediakan.
"Kita akan melaksanakan solat tarawih berjemaah setiap malam sepanjang Ramadan bersama imam jemputan, aktiviti tadarus dan tadabur al-Quran setiap Ahad hingga Rabu jam 12 tengah hari dan kuliah Zohor setiap Khamis pada jam 12 tengah hari.
"Kita juga akan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan mengadakan qiamullail dan bersahur. Jadi, semua dialu-alukan untuk merasai kembali kehebatan Masjid Kristal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!