'Jutawan sampah' fail saman fitnah RM10 juta
KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd, Mohamad Azlan Abdullah Al Amin mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa memfitnahnya dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.
Mohamad Azlan yang juga dikenali pengikut di laman sosialnya sebagai 'jutawan sampah' berkata, ia susulan perbuatan individu terbabit memuat naik beberapa hantaran berunsur fitnah di laman sosial Facebook pada 23 April 2021.
Menurutnya, dalam status hantaran di laman sosial itu, individu berkenaan menuduh dirinya mencagarkan tanah arwah bapa defendan sehingga dilelong dan hantaran berunsur fitnah itu kemudiannya menjadi tular di Facebook.
"Yang kedua, saya turut dituduh menggunakan helikopter untuk menipu orang kampung dan orang ramai malah saya digelar orang gila dan Yahudi, malah ibu individu itu turut memberikan komen fitnah dan jelek terhadap saya.
"Hantaran ini dilakukan secara berterusan dan dikongsi ramai orang termasuk dalam kumpulan Anak-Anak Jertih dan Cakna Besut Terengganu, ini memalukan saya sehinggalah hantaran itu dihentikan apabila saya melantik peguam untuk menghantar notis saman," katanya.
Mohamad Azlan ditemui selepas berakhirnya sidang media di pejabat guaman yang mewakilinya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Menara Dato Onn di sini pada Jumaat.
Mohamad Azlan menambah, beliau memfailkan saman fitnah menerusi firma guaman berkenaan pada Isnin lalu manakala writ saman kepada peguamcara defendan dihantar pada Khamis.
"Saya serah isu ini dalam tangan Mahkamah Tinggi untuk memutuskan keadilan kepada saya dan percaya mahkamah akan membuat keputusan yang bijak dan saksama," katanya.
Menurutnya, hanya dengan tindakan undang-undang sahaja dapat menghentikan perbuatan individu terbabit selain tindakan itu diharap dapat mengurangkan kerugian ditanggung dan mengembalikan semula reputasinya.
"Kita sudah hantar lebih kurang lima surat tuntutan (LOD) dan setiap LOD mengandungi beberapa kenyataan kenyataan berbaur fitnah dan ini menunjukkan banyaknya kenyataan (hantaran) fitnah yang ditujukan kepada saya," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!