Polis tak pernah tutup kes serang Pengarah Eksekutif PHEB

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang masih menyiasat kes melibatkan kes cubaan membunuh Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Datuk M Ramachandran pada tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis tidak pernah menutup kes tersebut seperti yang didakwa.

"Siasatan kes itu masih lagi aktif, kes tak pernah ditutup. Saya 'no' komen (berhubung dakwaan ada cubaan kes tersebut ditutup), kena tanya pihak yang mendakwa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Mohd Shuhaily berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PHEB, P Ramasamy bahawa tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan terhadap kes tersebut walaupun sudah lapan bulan berlalu.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, terdapat dakwaan kononnya ada pihak tertentu cuba memberi rasuah dengan jumlah wang yang tinggi supaya kes itu ditutup.

Pada 24 Julai tahun lalu, Ramachandran, 70, parah ditetak sekumpulan individu di hadapan kediamannya di Taman Alma, Machang Bubok, Bukit Mertajam.

Kejadian kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan akibat diserang dengan senjata tajam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang turun dari kereta untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum diserang oleh empat orang lelaki.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek berusia lingkungan 45 hingga 51 tahun itu ditahan berasingan di kawasan Seberang Perai, Butterworth dua hari selepas kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!