PRU15: UMNO sedia berdepan gabungan politik baharu
ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO bersedia berdepan dengan mana-mana gabungan politik baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, parti itu memiliki kekuatan akar umbi yang kukuh untuk bersaing pada PRU15 meskipun berdepan dengan Gerakan Pejuang Nasional (GPN) mahupun blok pembangkang Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, gabungan baharu sukar direalisasikan kerana bukan mudah untuk beberapa parti politik yang berbeza perjuangan dan dasar mencari titik persefahaman.
“Bekas pemimpin UMNO yang kini menerajui parti lain tahu apa kekuatan UMNO, disebabkan itu kita dapat lihat kebelakangan ini sudah ada perbincangan untuk membentuk GPN, namun saya andaikan ia sukar direalisasikan.
“Sekiranya gabungan itu berjaya diwujudkan, namun sukar untuk mereka mempertahankan pakatan terbabit yang diketuai ramai pemimpin yang masing-masing mahu menonjolkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Yusof berkata, agak mustahil untuk PH mahupun gabungan parti pembangkang untuk meraih kemenangan besar dalam PRU15 kerana masing-masing mempunyai perjuangan berbeza.
“Untuk menyatukan perkara, menjadikan satu dasar dan satu perjuangan daripada lima atau enam parti yang berpecah-pecah, agak sukar untuk dapatkan titik persamaan untuk apa hendak bersatu. Masing-masing ada cara tersendiri, ia ibarat ‘tidur sebantal mimpi lain-lain’,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pada setiap pilihan raya, saingan tetap ada dalam kalangan parti yang bertanding dan hanya rakyat yang akan menentukan undi berpihak kepada parti mana.
“Biarpun saingan sengit, rakyat sekarang lebih bijak menilai, mereka akan lakukan perbandingan apa yang dikecapi bawah pentadbiran BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Pada 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pembangkang dan menang dengan kalahkan BN, namun selepas itu apa berlaku kepada gabungan parti yang ditubuhkan tanpa ada dasar dan perjuangan sama, semuanya punah kerana tidak diselaras dengan baik, akhirnya gabungan itu berpecah,” katanya.
Ujarnya, dasar dan perjuangan parti amat penting sebagai sandaran kejayaan sesebuah parti seperti dibuktikan oleh UMNO yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
“Apa tujuan sesebuah parti ditubuhkan? DAP bertahan atas perjuangan konsep Malaysian Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan untuk membela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Amanah Negara (Amanah) adalah serpihan Pas, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan atas perebutan kuasa. Bagaimana hendak menyatukan kesemua perbezaan itu,” soalnya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, UMNO lebih selesa untuk berdepan satu lawan satu pada PRU15 memandangkan taktikal yang pernah dilakukan pada PRU 2018 menyebabkan parti itu kecundang.
“Taktikal lawan tiga penjuru, itu kesilapan UMNO bantu Pas bertanding di semua kerusi, contohnya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang menyebabkan UMNO kalah 27 kerusi di kawasan Felda. Taktikal salah ini punca kita tersungkur. Kita tak perlu lagi ulangi kesilapan lalu,” katanya.
Pada Rabu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, ketika ini parti itu tidak bergabung dengan mana-mana parti termasuk Bersatu untuk menubuhkan GPN seperti diperkatakan, namun bersedia menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang bersifat bersih dan ikhlas.
Dr Mahathir turut mengesahkan Pejuang tidak berhasrat bergabung untuk membentuk satu blok pembangkang dengan mana-mana parti bagi menentang BN dalam menghadapi PRU15.
Sebelum itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi mengemukakan cadangan gabungan parti dalam PRU15.
Ia rentetan khabar angin bahawa satu bentuk kerjasama politik sedang digerakkan oleh Dr Mahathir dan didakwa beberapa parti telah menunjukkan minat untuk menyertai GPN, iaitu Pejuang, Warisan, Bersatu, Pas dan Gerakan.
GPN juga dikatakan bakal disertai beberapa tokoh politik seperti Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Rafidah Aziz.
Namun beberapa parti dalam PH, seperti DAP, PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijangka terus kekal dalam PH.
Sekiranya ia berlaku, pada PRU15 kelak bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara BN, PH dan GPN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!