‘Pemimpin Bersatu patut malu’
SHAH ALAM - Bukan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang patut rendahkan ego, sebaliknya pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang patut malu, sindir Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman yang berkata, Dr Mahathir sebagai Pengerusi Pejuang sepatutnya merendahkan ego dan bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, Faiz sepatutnya menegur semua pimpinan Bersatu supaya tahu malu kerana merekalah yang terlebih dahulu bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’ dalam Langkah Sheraton.
“Pimpinan Bersatu juga sepatutnya berasa malu kerana merekalah yang telah menikam belakang Tun Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu ketika itu.
“Mereka juga yang telah memecat Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beberapa orang pimpinan tertinggi dan ramai ahli Bersatu yang lain kerana berpegang kepada prinsip.
“Pimpinan Bersatu juga patut berasa malu yang amat sangat akhirnya Presiden mereka (Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri) sendiri dan beberapa orang Menteri Besar Bersatu kemudiannya telah digulingkan oleh parti yang dipimpin oleh kluster mahkamah ini.
“Jadi siapa yang sebenarnya patut rendahkan ego? Ini bukan soal ego, ini soal maruah dan prinsip!” tegasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Muhyiddin telah mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir.
Jelas Mukhriz, dalam pertemuan itu, Muhyiddin ada mengemukakan cadangan gabungan parti dalam PRU15 nanti.
Bagaimanapun, pada Jumaat, Dr Mahathir berkata, Pejuang ketika ini tidak berhasrat untuk bergabung membentuk satu blok pembangkang dengan mana-mana parti bagi menentang Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRU15.
Sementara itu, Amir Khusyairi turut mempersoalkan sama ada barisan pemimpin Bersatu juga sudah mula terikut-ikut dengan sifat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Adakah pemimpin Bersatu juga sudah terikut-ikut dengan bakal banduan Najib Razak yang tak tahu malu? Sekian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!