Tubuh jawatankuasa khas kukuh kerjasama sekuriti makanan negara

Ronald Kiandee - Foto Bernama
Ronald Kiandee - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan melibatkan kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi membentuk kerjasama dalam mengukuhkan lagi sekuriti makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat hasil perbincangannya dengan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan beberapa pegawai kanan kedua-dua kementerian itu.

"Kita memerlukan keterlibatan di peringkat negeri dan Persekutuan dalam menghadapi cabaran (menjamin sekuriti makanan negara)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam anjuran MANRED bagi meraikan lawatan tiga hari beliau ke Sarawak.

Dr Rundi dan Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Karim turut hadir di majlis itu.

Dalam rangka lawatan sulungnya ke negeri ini sejak memegang portfolio itu, Ronald telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selain melawat Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar di Sri Aman, kira-kira 190km dari sini.

Ronald akan meneruskan programnya pada Sabtu dengan mengadakan tinjauan mesra di Medan Niaga Satok di sini.

Sementara itu, Dr Rundi yang turut berucap dalam majlis itu berkata, kementeriannya kini sedang memberi fokus kepada pengwujudan lebih banyak taman teknologi agro sebagai strategi untuk mentransformasi komuniti pertanian di Sarawak.

Menurutnya, usaha ini memerlukan sokongan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan sasarannya meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat tani di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Banyak perkara baru yang perlu kita pelajari untuk mencapainya dan pada masa yang sama, kita tidak boleh mengulangi kesilapan lama yang pernah kita buat," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!