Kerjasama PH dengan Bersatu, Pas tidak berbangkit: Anwar
SUBANG JAYA - [DIKEMASKINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan masih tiada sebarang usaha dilakukan oleh pimpinan tertinggi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Tidak ada berbangkit isu itu. Ada bincang, tapi tidak berbangkit (usaha kerjasama daripada Bersatu dan Pas),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam meraikan veteran DAP, Lim Kit Siang, di sebuah hotel, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi PH berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berkaitan kewujudan sebarang usaha daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk menjalinkan kerjsama bersama PH.
Pada Rabu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan bahawa Muhyiddin telah bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad dua minggu lalu berhubung gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Abdul Hadi pada Jumaat dilaporkan turut menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Pejuang.
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan bahawa PH tidak pernah membangkitkan persoalan untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam sebarang mesyuarat yang diadakan antara parti komponen gabungan itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pertembungan antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi merebut kerusi Timbalan PKR, Anwar berkata, persaingan tersebut dijangka tidak akan membawa kepada perpecahan di dalam parti seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Persaingan ini lebih mesra dan beradab dan ia akan berdasarkan kepada keutamaan dan hala tuju dasar.
“Ia tidak akan membabitkan dendam seperti persaingan pada masa lalu, dan kedua-dua memiliki personaliti yang kuat dan tidak akan khianat dalam apa cara sekalipun,” ujarnya yang juga merupakan Presiden PKR.
Pada Jumaat, Saifuddin secara rasmi menyatakan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang sekaligus mencabar Rafizi yang sebelum ini telah mengumumkan untuk merebut jawatan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!