Jenazah Kamsiah Kamaruddin selamat dikebumikan
PUTRAJAYA - Jenazah Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini malam ini.
Terdahulu beberapa ahli keluarga terdekat Allahyarhamah telah mula berhimpun di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) seawal pukul 9 malam, menunggu ketibaan jenazah untuk memberikan penghormatan terakhir.
Sebaik tiba kira-kira pukul 11 malam, jenazah Allahyarhamah dibawa ke ruang utama untuk urusan solat jenazah yang dipimpin oleh Imam masjid berkenaan Ustaz Hasrol Khalid, dan solat jenazah itu turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Allahyarhamah meninggal dunia pada usia 54 tahun di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) disebabkan denggi serta komplikasi kesihatan, dan jenazahnya tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH720 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 9 malam.
Allahyarhamah berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN pada 16 Julai 2019 serta pernah bertugas di Thailand dan Singapura.
Anak kelahiran Perak yang juga isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Muhammad itu pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha Bahagian Amerika, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Setiausaha di Jabatan Hal Ehwal Dua Hala Eropah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!