Peniaga telur penyu di Pasar Payang akur larangan penjualan
KUALA TERENGGANU - Berbaki dua bulan lagi sebelum pelaksanaan larangan menjual telur penyu di Terengganu, kebanyakan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang telah pun bersedia untuk mematuhi peraturan tersebut.
Walaupun berasa sedikit terkilan kerana tidak lagi dapat memenuhi permintaan pelanggan tetap yang menggemari telur eksotik itu, mereka akur dengan keputusan kerajaan Terengganu demi memastikan usaha konservasi secara maksimum dapat dicapai.
Bagi Hayati Mad Zain, 54, beliau mengakui ramai pelanggan tetapnya yang masih berharap beliau akan terus menjual telur penyu, walaupun setelah larangan itu dikuatkuasakan 1 Jun depan.
"Saya tidak mahu ambil risiko didenda atau dihukum kerana melanggar peraturan. Sebagai peniaga, saya patuh sahaja larangan tersebut, walaupun telur penyu adalah antara jualan yang paling laris di gerai saya ini,” katanya yang berniaga di pasar tumpuan pelancong itu sejak berusia 11 tahun, mengikut ayahnya.
Ketika ini, terdapat tujuh peniaga telur penyu di Pasar Besar Kedai Payang dan Hayati antara peniaga yang sering dicari pelanggan, kerana stok jualannya sentiasa banyak dan Hayati juga menjual telur yang sedia dimakan kerana ia sudah siap dijeruk serta direbus.
Seorang lagi peniaga, Zainab Mohd Elias, 48, berkata, beliau baru sahaja mencuba nasib menjual telur penyu sejak dua tahun lepas, sebagai 'produk jualan' tambahan di gerai kuih tradisionalnya."Selain kain batik, sutera dan keropok keping, telur penyu juga adalah antara daya tarikan orang ramai ke pasar ini, kerana hanya Terengganu sahaja yang masih membenarkan penjualan telur penyu di Malaysia.
Beliau mengakui ada pelanggan membeli telur penyu untuk dimakan sebagai ubat sakit lutut dan mendakwa ia mujarab walaupun tiada kajian saintifik yang membuktikan dakwaan itu.
Pada November tahun lepas, kerajaan Terengganu telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri untuk mengelakkan kepupusan hidupan marin yang semakin terancam itu.
Pindaan itu antara lain, akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu, dengan menetapkan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!