Undian Piala Dunia 2022: AS, England, Iran satu kumpulan
AMERIKA Syarikat (AS) akan berdepan naib juara Euro 2020, England dan gergasi Asia, Iran apabila diundi dalam Kumpulan B pada pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022, dengan satu slot ditentukan pemenang perlawanan Wales/Scotland/Ukraine.
Pada majlis undian Piala Dunia Qatar 2022 di Doha, AS kendalian Gregg Berhalter dipertemukan dengan bekas pemerintah kolonial England dan Iran, sebuah negara yang sentiasa bergolak dalam isu politik dengan negara Uncle Sam tersebut.
Untuk rekod, AS pernah menentang Iran pada Piala Dunia Perancis 1998, tewas 2-1 kepada negara Teluk berkenaan.
Penyandang juara Perancis pula akan bertemu Denmark dan Tunisia apabila diundi dalam Kumpulan D manakala Sepanyol bakal menentang Jerman dalam pertembungan bekas pemenang di Kumpulan E.
Kejuaraan temasya sukan bola sepak berprestij dunia itu juga menyaksikan tuan rumah Qatar menyingkap tirai pusingan akhir Piala Dunia Qatar menentang sensasi Amerika Selatan, Ecuador pada 21 November.
Saingan Kumpulan G adalah antara yang paling sukar, menyaksikan pemenang Piala Dunia lima kali Brazil menentang Serbia, Switzerland dan Cameroon.
Untuk rekod, Qatar 2022 akan berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember menyaksikan kejuaraan pertama kali dianjurkan di Timur Tengah.
Undian Kumpulan Piala Dunia Qatar 2022
Kumpulan A:
Qatar, Belanda, Ecuador, Senegal,
Kumpulan B:
England, Iran, Amerika Syarikat, (Wales/Scotland/Ukraine)
Kumpulan C:
Argentina, Arab Saudi, Mexico, Poland
Kumpulan D:
Perancis, Denmark, Tunisia, (Australia/UAE/Peru)
Kumpulan E:
Sepanyol, Jerman, Jepun, (Costa Rica/New Zealand)
Kumpulan F:
Belgium, Kanada, Maghribi, Croatia
Kumpulan G:
Brazil, Serbia, Switzerland, Cameroon
Kumpulan H:
Portugal, Ghana, Uruguay, Korea Selatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!