Setiap perlawanan ibarat final

Skuad futsal negara yang menggalas cabaran di Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok. - Foto FB FAM
Skuad futsal negara yang menggalas cabaran di Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD futsal negara menyasarkan untuk layak ke separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Bangkok mulai Sabtu.

Pengendali skuad negara, Chiew Chun Yong percaya pasukan dibimbingnya mempunyai peluang cerah merealisasikan misi tersebut di Stadium Tertutup Huamark yang berlangsung dari 2 hingga 10 April ini.

Diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Kemboja, Brunei dan tuan rumah yang juga juara bertahan, beliau berkata, pasukan negara akan memberikan yang terbaik dengan setiap perlawanan ibarat perlawanan akhir.

"Harapan saya untuk skuad negara dalam pertandingan ini ialah sekurang-kurangnya kami layak ke separuh akhir. Ini sasaran kami.

"Saya percaya jika kami boleh menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan, kami punyai peluang yang cerah,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri sidang akhbar praperlawanan Kumpulan A di sebuah hotel.

Kumpulan B terdiri daripada Vietnam, Myanmar, Timor Leste dan Australia.

Chun Yong berkata, skuad negara yang menampilkan gandingan pemain muda dan baharu sebelum ini mempunyai tempoh dua minggu untuk melakukan persiapan bagi kejohanan kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Salah satu cabaran terbesar ialah pemain baharu kurang pendedahan antarabangsa kerana tempoh latihan yang singkat.

"Mereka (pemain baharu) perlu masa menyesuaikan diri dengan skuad senior dalam pertandingan peringkat tinggi ini. Ini cabaran terbesar pasukan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Chun Yong mengakui gembira melihat semangat tinggi dipamerkan pemain menjelang perlawanan pembukaan.

"Dengan semangat pemain yang tinggi, saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik dalam pertandingan ini,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Kemboja diikuti Indonesia (4 April), Brunei (5 April) dan Thailand (6 April).

Untuk aksi separuh akhir dijadualkan pada 8 April dan final serta perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat pula 10 April di Stadium Tertutup Huamark.

Tiga pasukan teratas akan layak ke Kejuaraan Futsal AFC tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!