Bekalan ikan, daging, sayur mencukupi, ayam masih kurang
JOHOR BAHRU - Bekalan barangan basah dijual di pasar awam sekitar bandar raya ini diyakini mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat terutama sepanjang Ramadan ini.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Awam Larkin di sini mendapati rata-rata peniaga yang menjual ikan, daging mentah dan sayur-sayuran tidak mempunyai masalah bagi mendapatkan stok.
Bagaimanapun, peniaga mendakwa masih berdepan masalah kekurangan bekalan ayam.
Menurut penjual ayam, Mohd Yusof Md Yunos, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu yang mana dia sukar mendapatkan jumlah stok yang dipesan pada setiap hari.
"Biasanya, saya akan pesan sebanyak 300 ekor tapi yang saya terima hanya 200 ekor. Kita memang boleh jual sebab ada yang dah pajak iaitu permintaan daripada kedai makan dan sebagainya.
“Cuma bila kita jual di pasar, berapa sahaja yang tinggal jika satu kedai makan pajak dalam 20 ke 30 ekor. Jadi saya bimbang lebih-lebih lagi ketika bulan puasa ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Larkin di sini, pada Sabtu.
Bagi peniaga ikan dan hasil laut, Sabarudin Saim, barangan jualannya buat masa ini tidak mempunyai masalah kerana bekalan daripada nelayan sudah beransur pulih kerana keadaan cuaca di laut yang baik.
“Kita tiada masalah bekalan sekarang kerana cuaca dah mula baik. Mungkin Ramadan ini harga ikan juga kembali seperti biasa kerana beberapa bulan sebelum ini ia agak tinggi.
“Kita lihat dari Disember hingga Tahun Baharu Cina yang lepas, harga ikan agak tinggi kerana kita tiada bekalan, ramai tidak ke laut jadi susah dapatkan stok,” katanya
Sementara itu, penjual daging, Daud Imam berkata, setakat ini mereka tidak berdepan masalah kekurangan bekalan dan berharap keadaan itu akan berterusan.
Katanya, semua jenis produk daging seperti daging sejuk beku dan daging mentah mahupun tulang mencukupi dan dijual mengikut harga seperti pasaran biasa.
"Yang saya hendak sentuh cuma prosedur operasi standard (SOP) di pasar ini supaya dilonggarkan sedikit dengan membuka lebih banyak pintu bagi memudahkan pelanggan nak masuk, kalau pintu sempadan boleh dibuka, mengapa tidak pintu di sini," katanya.
Penjual sayur-sayuran, Alina Mohd Aris pula berkata, dia juga tidak mempunyai masalah besar ketika ini kerana stok sayur-sayuran masih boleh diperoleh daripada peraih seperti biasa.
Katanya, kenaikan harga juga tidak terlalu ketara kerana bekalan yang banyak selain mencukupi untuk menampung keperluan khususnya bagi bulan Ramadan kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!