Wanita Orang Asli hilang dibawa arus ditemukan lemas
CAMERON HIGHLANDS - Mayat seorang wanita Orang Asli yang hilang lima hari lalu selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat di Kampung Sungai Ubi di sini, ditemukan pada Sabtu.
Mayat mangsa, Mariam Bertampan, 62, ditemui pada jam 11.45 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi dia terjatuh.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) sebelum ini dihentikan selepas mayat mangsa berjaya ditemui," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selasa lalu, pihak bomba dan penyelamat menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 4.50 petang yang menyaksikan hujan lebat sewaktu kejadian kira-kira sejam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!