‘Jemaah solat tarawih dijangka ramai tapi tidak melimpah’

Masjid Seksyen 7. Gambar kecil: Zulhelmi Mohd Hassan
Masjid Seksyen 7. Gambar kecil: Zulhelmi Mohd Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Masjid Seksyen 7 di sini menjangkakan menerima lebih ramai jemaah solat sunat tarawih pada Ramadan tahun ini, namun masih mampu menampung jumlah kehadiran jemaah.

Pengurus dan Imam Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Zulhelmi Mohd Hassan berkata, bagaimanapun bilangan jemaah solat tarawih di masjid itu dijangka tidak seramai jemaah solat Jumaat memandangkan solat sunat itu turut diadakan di surau-surau berdekatan.

Menurutnya, pihak masjid juga telah melakukan persiapan sepenuhnya bagi menerima kedatangan jemaah-jemaah untuk solat tarawih.

“Kalau solat Jumaat, memang jemaah akan melimpah sampai kawasan parkir kereta tetapi kalau Ramadan ini, surau (di kawasan) masing-masing buat (solat tarawih).

“Tahun lepas walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada had (kemasukan jemaah), itu pun sudah melebihi dan mungkin Ramadan kali ini akan lebih sebab kapasiti masjid ini muat dalam 4,000.

“Pihak masjid jangka jumlah kehadiran jemaah pada Ramadan kali ini mungkin 3,000 ke bawah dengan mengambil kira faktor jemaah ke surau-surau berdekatan dan masjid ini turut menganjurkan beberapa program," katanya kepada Sinar Harian.

Salah seorang pekerja masjid yang sedang membersihkan masjid bagi persediaan untuk solat sunat tarawih pada Sabtu ini.
Salah seorang pekerja masjid yang sedang membersihkan masjid bagi persediaan untuk solat sunat tarawih pada Sabtu ini.

Zulhelmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengingatkan jemaah supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) meskipun negara telah memasuki fasa peralihan endemik.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini penjarakan sosial sudah tidak ada dalam solat, jadi masing-masing kena bawa sejadah dan pelitup muka.

"Jemaah juga diingatkan supaya membawa sejadah sendiri," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak masjid turut mengadakan pelbagai program sempena Ramadan kali ini antaranya program iftar ‘drive-thru’ untuk orang ramai.

“Selain itu, kita turut sediakan ruang untuk 100 jemaah yang mahu 'dine-in' di masjid.

“Kemudahan ini diberikan kepada orang musafir, dan orang ramai yang balik dari kerja tetapi tidak sempat untuk berbuka, jadi mereka boleh ambil (makanan) di iftar ‘drive thru’,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!