Warga maya puji kakitangan DBKL tangkap peragut
KUALA LUMPUR - Warden trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terserempak dengan seorang peragut bertindak pantas menahan suspek terbabit dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu.
Unit Media DBKL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan kejadian itu disedari kakitangan DBKL yang sedang melakukan rondaan dan bertindak segera menangkap serta menggari tangan lelaki itu bagi mengelakkan suspek berkenaan melarikan diri.
Kenyataan berkenaan turut memberitahu, peragut berkenaan kemudian diambil oleh polis peronda dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut manakala petugas terbabit membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan telah mendapat reaksi positif dalam kalangan pengguna media sosial yang mengucapkan tahniah dengan tindakan pantas petugas berkenaan.
"Terbaik petugas DBKL. Teruskan usaha menjaga keselamatan orang awam di Kuala Lumpur," komen seorang pengguna Facebook, Angah Wrs.
"Terbaik petugas DBKL dan terima kasih," tulis Chua Mui Ching Irine manakala Zulfadhli Baharom pula memuji tindakan pantas kakitangan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!