Sedia satu mesin retort di setiap negeri: KPDNHEP

Rosol (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada peniaga semasa meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Kampung Telaga, Hulu Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
Rosol (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada peniaga semasa meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Kampung Telaga, Hulu Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu mesin ‘retort’ di setiap negeri bagi mengelakkan pembaziran makanan terutama pada bulan Ramadan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, buat masa ini, mesin bernilai RM38,000 sebuah itu terdapat di Terengganu, Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, yang ditempatkan di hotel-hotel besar yang mempunyai banyak lebihan makanan.

Beliau berkata, kementerian akan menyediakan sembilan lagi mesin berkenaan dalam masa terdekat untuk menampung kegunaan di setiap negeri.

Katanya, sembilan mesin itu dikenali sebagai ‘thermal decontimination’ yang lebih canggih kerana ia mampu membungkus lebih banyak jenis makanan berbanding empat mesin yang sedia ada kini.

"Lebihan makanan yang belum disentuh boleh dibungkus menggunakan mesin ini dan ia mampu bertahan sehingga dua tahun. Makanan tersebut kita boleh sumbangkan kepada yang memerlukan seperti di kawasan bencana.

"Jadi, daripada dibuang begitu sahaja, pihak industri seperti hotel boleh membawa lebihan makanan mereka ke lokasi mesin tersebut diletakkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan Masjid Kampung Telaga di sini pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini mesin ‘retort’ bagi Terengganu ditempatkan di Hotel Primula di Kuala Terengganu dan mana-mana premis makanan serta hotel boleh menghantar makanan lebihan mereka di situ untuk dibungkus tanpa melibatkan sebarang kos.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, meskipun pengusaha hotel dan premis makanan boleh menentukan sendiri harga pakej bufet Ramadan yang mereka tawarkan, kementerian masih boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat penipuan seperti memberikan pakej makanan berbeza daripada apa yang diiklankan, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Saya juga ingin nasihatkan kepada pengguna supaya berbelanja ikut kemampuan. Pilih pakej bufet yang menawarkan harga munasabah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PJKM yang diadakan di pekarangan Masjid Kampung Telaga pada Sabtu, menarik perhatian penduduk setempat kerana menawarkan harga murah seperti daging lembu tempatan hanya RM25 sekilogram dan ayam standard RM5 sekilogram.

Potongan harga bagi kedua-dua bahan mentah tersebut adalah sumbangan subsidi daripada Rosol yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!