Tak sempat jual air ketum
BALIK PULAU - Polis menahan empat lelaki bersama air dan daun ketum bernilai RM5,100 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenda Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek tersebut merupakan ahli sindiket yang memproses dan menjual barang terlarang itu di sekitar negeri ini.
Menurutnya, suspek berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat awam serta risikan yang dilakukan sebelum ini.
"Kita menyerbu sebuah rumah pada jam 1.45 tengah hari dan menahan empat lelaki terbabit. Kita menemui 120 bungkus air ketum yang siap diproses di dalam kereta yang diletakkan di hadapan rumah.
"Sementara itu, pemeriksaan di dalam rumah pula menemui tiga tong ais mengandungi 300 bungkusan air ketum siap diproses. Selain itu, kita turut merampas 15 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 75 kilogram (kg) dan pelbagai peralatan untuk memproses air ketum," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Kamarul Rizal berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menjual air ketum berkenaan di sekitar kawasan Bayan Lepas dengan harga RM5 sebungkus.
"Sindiket tersebut dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri jiran.
"Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!