'Budaya politik personaliti sudah tidak relevan'

Lian Ker (berdiri, depan,tengah) bersama 120 peserta pada program Women Of Wisdom @iLead anjuran Kementerian Belia dan Sukan di sebuah hotel pada Sabtu.
Lian Ker (berdiri, depan,tengah) bersama 120 peserta pada program Women Of Wisdom @iLead anjuran Kementerian Belia dan Sukan di sebuah hotel pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Budaya politik berkisar kepada pengaruh personaliti tertentu dilihat sudah tidak relevan dalam situasi terkini.

Bagaimanapun Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, senario politik negara ini masih lagi berkisar kepada pengaruh personaliti politik dan konflik tertentu.

Beliau berkata, sudah sampai masanya untuk semua bergerak ke hadapan dan menumpukan kepada landasan politik yang jitu serta memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

"Kita tidak seharusnya menumpukan kepada personaliti politik tertentu semata-mata.

"Kalau boleh hentikan daripada menjadikan personaliti politik sebagai fokus utama, lebih-lebih lagi kepada individu yang sudah diberi peluang dan gagal.

"Kita sudah terlalu lama berkisar dengan kitaran politik personaliti dan konflik personaliti tokoh-tokoh lama dalam parti, cukuplah," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Women Of Wisdom @iLead anjuran Kementerian Belia dan Sukan di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan membabitkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan berlaku kira-kira dua minggu lalu.

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Lian Ker mahu rakyat membebaskan pemikiran daripada jerat politik sebegini dalam memberi sokongan.

"Kita perlu membebaskan diri daripada jerat politik konflik-konflik peribadi dan saya dahulu pemimpin mahasiswa dan sudah melihat era politik personaliti ini.

Artikel Berkaitan:

"Politik ini sebenarnya tidak memberi manfaat kepada rakyat dan apa yang kita mahu (sekarang) adalah memberi aspirasi supaya wujudnya suasana politik yang berpaksikan kepentingan rakyat dan negara," ujarnya.

Ditanya mengenai pendirian MCA terhadap Pas pula, Lian Ker menjelaskan, parti itu menerima baik semua parti yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan utama.

Beliau mengakui tidak pernah menidakkan mana-mana parti politik di negara ini.

"Kalau perjuangan mereka berlandaskan Perlembagaan dan nilai-nilai murni dan demi rakyat serta negara, kita pasti boleh menerima," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, landasan MCA selama ini adalah kesederhanaan dan berlandaskan Perlembagaan.

"Kita tidak lari dari landasan itu walaupun kita mewakili komuniti masyarakat (Cina), kita tidak memperjuangkan untuk mengagungkan masyarakat Cina, sebaliknya menjadi suara kepada masyarakat komuniti untuk menjadi sebahagian daripada 'Keluarga Malaysia," tegasnya.