Tentera Rusia terdedah radiasi?
KIEV - Tentera Rusia berkemungkinan terdedah kepada radiasi ketika ia mengambil alih kawasan sekitar loji kuasa nuklear Chernobyl sejak empat minggu lalu yang pernah mencetuskan bencana terburuk pada 1986.
Syarikat kuasa nuklear, Energoatom berkata, kenderaan digunakan pasukan tentera tersebut berisiko mencetuskan awan debu radioaktif selain anggota berkenaan menggali parit di kawasan paling tercemar.
“Semua peralatan di stesen janakuasa Chernobyl masih berfungsi. Sistem kawalan dan pemantauan radiasi juga berfungsi seperti biasa,” kata ketuanya, Valery Seida.
Menurutnya, zarah radioaktif boleh menembusi organisma tentera Rusia dengan mudah menerusi paru-paru dan berkemungkinan besar mereka terdedah kepada paras radiasi yang tinggi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata, mereka tidak mempunyai pengesahan tentang laporan tersebut memandangkan situasi radiasi sekitar kemudahan tersebut adalah agak normal.
Bagaimanapun, pengunduran tentera Rusia mungkin telah menyebabkan tahap ‘radiasi setempat’ yang lebih tinggi kerana pergerakan kenderaan berat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!