Lori bahan kimia terbalik, cemari sungai di Keningau

Keadaan air sungai yang tercemar selepas berlaku kemalangan membabitkan lori tangki yang membawa muatan bahan kimia di Kampung Bariawa Jalan Keningau-Kimanis, Keningau.
Keadaan air sungai yang tercemar selepas berlaku kemalangan membabitkan lori tangki yang membawa muatan bahan kimia di Kampung Bariawa Jalan Keningau-Kimanis, Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Bariawa dan Sungai Pagalan di sini, diberi amaran supaya tidak menggunakan air dari kedua-dua sungai terbabit selepas dipercayai tercemar akibat tumpahan bahan kimia.

Amaran itu dikeluarkan berikutan kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11.40 malam Jumaat membabitkan sebuah lori tangki yang membawa bahan kimia terbalik di Kampung Bariawa Jalan Keningau-Kimanis.

Akibat kemalangan itu, berlaku tumpahan bahan kimia dan mengalir ke parit seterusnya ke Sungai Bariawa dan Sungai Pagalan.

Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson memaklumkan, penduduk yang tinggal di sepanjang dua sungai itu diminta tidak menggunakan air dari sungai tersebut untuk sementara waktu sehingga ia disahkan selamat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kampung terlibat adalah Kampung Bariawa Ulu; Kampung Bariawa Tengah; Kampung Bariawa Laut, Kampung Lingkudou; Kampung Durok; Kampung Masak; Kampung Ansip dan kampung yang terletak di sepanjang dua sungai berkenaan.

"Tumpahan kimia itu mengangandungi bahan Phenol Formaldehyde Resin yang dikategorikan sebagai toksik serta berbahaya kepada pengguna air sepanjang sungai yang tercemar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan bahan kimia dan menyebabkan berlakunya tumpahan yang mengalir di dua sungai di Keningau.
Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan bahan kimia dan menyebabkan berlakunya tumpahan yang mengalir di dua sungai di Keningau.

Katanya lagi, penduduk diminta segera ke hospital atau klinik berhampiran sekiranya mengalami kesihatan akibat penggunaan air dari sungai itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Nur Rafidah Kasim berkata, kemalangan berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke sebuah kilang di daerah ini hilang kawalan ketika sedang menuruni bukit.

Katanya, lori terbabit terbabas ke bahu kiri dan terlanggar tebing bukit lalu menghampiri simpang Jalan Bariawa.

"Pemandu lori tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun kemalangan tersebut mengakibatkan lori berkenaan pecah dan tumpahan sisa mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.

"Sehubungan itu, sepasukan anggota polis dan Jabatan Kesihatan Keningau ke tempat kejadian dan sampel air sungai diambil untuk diuji serta laporan diserahkan kepada pihak JAS untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sehubungan itu, Nur Rafidah turut menasihatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang aktiviti di sungai yang disyaki tercemar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!