Berselindung di sebalik banglo mewah, kondominium
KUALA LUMPUR - Beroperasi di sebalik banglo mewah, kondominium serta apartment yang dikawal ketat, kononnya bagi mengelak kegiatan perjudian online dihidu pihak berkuasa.
Namun, taktik itu hanya sia-sia apabila polis berjaya melaksanakan enam serbuan berasingan di sekitar ibu negara membabitkan 67 tangkapan bermula Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan pertama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 4.40 petang di sebuah banglo dua tingkat di Jalan Titiwangsa ini telah menahan seramai 25 warga China termasuk empat wanita.
"Serbuan telah merampas pelbagai barang disyaki diguna untuk aktiviti perjudian online seperti set komputer (15 set), telefon bimbit (89 buah) dan 10 set komputer riba.
"Pihaknya percaya sindiket ini aktif sejak dua minggu lalu dengan mengaut jumlah pertaruhan sebanyak RM1.5 juta sebulan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.
Serbuan seterusnya pada semalam, telah menyerbu lima buah premis berasingan membabitkan kondominium serta apartment berasingan.
Mazlan berkata, serbuan bermula jam 4 petang melibatkan kawasan Jalan Perwira 2 Bukit Jalil, Jalan Metro Perdana 1, Jalan Vista Mutiara 1, Jalan Metro Perdana serta Lorong Kuda.
Katanya, tangkapan pada hari yang sama ini membabitkan seramai 42 orang membabitkan warga China seramai 28 orang, Indonesia (10 orang) dan warga tempatan (4 orang).
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, terdapat sindiket ini yang aktif beroperasi di dalam negara dengan menjalankan aktiviti pertaruhan dan promosi judi online menggunakan aplikasi WeChat di negara China.
"Hasil siasatan dan pemeriksaan dapati sindiket ini turut menjalankan aktiviti pertaruhan judi berunsurkan perjudian online dengan menghantarkan QR Code WeChat kepada pelanggan di negara China," katanya.
Tambahnya, polis percaya sindiket-sindiket ini menawarkan taruhan berjumlah puluhan ribu ringgit hingga ke jutaan ringgit setiap bulan. Bagaimanapun, polis masih menyiasat pembabitan sindiket perjudian yang berjaya ditahan ini sama ada mempunyai kaitan antara satu sama lain.
"Kita juga syaki ada sindiket ini yang mensasarkan pelanggan warga tempatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!