'Tarawih kembali meriah'
IPOH - Kebenaran merapatkan saf solat berjemaah di masjid dan surau membolehkan solat sunat tarawih kembali meriah dengan kehadiran ramai jemaah.
Tinjauan Sinar Harian di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini, mendapati seluruh ruang utama solat di masjid tersebut penuh sehingga saf terakhir malahan terdapat jemaah yang terpaksa solat di luar dewan solat utama.
Seorang jemaah masjid yang ditemui, Mustafa Kamal Harun, 67, meluahkan rasa gembira dan terharu apabila tuntutan merapatkan saf dapat dilaksanakan semula.
Katanya, perkara itu amat dinanti-nantikan oleh seluruh jemaah masjid dan surau kerana penjarakan saf solat berjemaah begitu asing.
"Apabila diumumkan saf boleh dirapatkan, saya antara orang yang sangat gembira dan tidak sabar untuk melaksanakannya. Merapatkan saf memang sangat dituntut dan setelah sekian lama ia dibenarkan kembali.
"Saya juga seronok bila rapat saf, kita dapat lihat semangat silaturahim itu kembali semula," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Muhammad Al-Fateh, Zulkifly Ibrahim berkata, apabila saf boleh mula dirapatkan, jumlah jemaah meningkat begitu ketara.
Katanya, bagaimanapun masih ada yang kekok untuk merapatkan saf memandangkan amalan tersebut telah dua tahun ditinggalkan.
"Alhamdulillah, kehadiran jemaah sangat baik terutama golongan muda yang datang ke masjid. Begitu juga mereka yang hadir membawa anak-anak dan ahli keluarga masing-masing.
"Cuma mungkin terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang kurang jelas dan perlu diperbaiki agar jemaah selesa menunaikan solat berjemaah di masjid," katanya.
Menurut Zulkifly, antara SOP yang boleh diperbaiki melibatkan galakan membawa sejadah sendiri dengan pelbagai saiz menyebabkan berlaku penjarakan saf dan kehadiran jemaah pelbagai peringkat usia.
Katanya, ada jemaah yang ragu-ragu untuk membawa ahli keluarga mereka ke masjid dan surau begitu juga dengan warga asing yang bimbang untuk hadir menunaikan solat berjemaah di masjid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!