Tradisi mantai kembali

A
A
A

SEREMBAN - Tradisi mantai yang melibatkan aktiviti melapah dan menjual daging menjelang Ramadan di Negeri Sembilan sudah bermula sejak petang Jumaat.

Kemeriahan mantai tahun ini lebih dirasai berbanding lebih dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19, malah peniaga daging di Pasar Ampangan di sini dilihat tidak melepaskan peluang untuk berniaga sejak jam 6 pagi.

Peniaga daging, Mohd Fadhil Asnawi Zaaidin, 30, berkata, memperuntukkan sebanyak tujuh ekor lembu sepanjang dua hari ini untuk tujuan mantai.

“Jika dulu tidak begitu ramai keluar kerana pandemik, kali ini ramai mendapatkan daging, situasi ini berbeza malah memberi kelegaan kepada peniaga seperti kami.

“Walaupun harga daging yang kami tawarkan sedikit mahal susulan kenaikan harga dedak di pasaran, namun kebanyakan pelanggan kami faham,” katanya.

Seorang peniaga sedang melapah daging untuk dijual kepada pelanggan pada hari mantai.
Seorang peniaga sedang melapah daging untuk dijual kepada pelanggan pada hari mantai.

Pelanggan, Norhanisah Che Amat, 53, berasa gembira apabila dapat merasai kembali tradisi mantai selepas sambutannya suram akibat pandemik.

“Lebih seronok apabila ada hari mantai, kami adik-beradik dapat berkumpul dan sambut awal Ramadan bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pelanggan, Zalita Zakaria, 51, dari Rembau, teruja apabila dapat menikmati suasana mantai kali ini.

“Saya berharap suasana seperti ini dapat dinikmati pada tahun-tahun akan datang kerana tradisi ini sememangnya unik di Negeri Sembilan, walaupun kemeriahannya tidak sama seperti sebelum pandemik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!