AS gesa pihak bertelagah di Yaman patuhi gencatan senjata sementara

Antony Blinken. - Foto AP
Antony Blinken. - Foto AP
A
A
A

SANAA - Amerika Syarikat (AS) menggesa pihak yang bertelagah di Yaman mematuhi sepenuhnya genjatan senjata sementara yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"AS menyambut baik pengumuman PBB mengenai genjatan senjata selama dua bulan itu dan persetujuan pihak yang bertelagah terhadap syaratnya," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Setiausaha Negara Antony Blinken.

Beliau berharap perdamaian sementara itu, andai dilaksanakan sepenuhnya, dapat menghentikan pertempuran dan serangan sekurang-kurangnya 60 hari sekali gus memudahkan penyerahan bantuan yang sangat diperlukan kepada berjuta-juta rakyat Yaman ketika Ramadan.

Pada Jumaat, pihak bertelagah di Yaman sepakat untuk menghentikan semua serangan udara, darat dan maritim.

Genjatan senjata sementara itu berkuat kuasa mulai 7 malam Sabtu (waktu tempatan).

Yaman dicengkam keganasan dan ketidakstabilan sejak 2014, apabila puak Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu, termasuk bandar raya Sanaa.

Menurut PBB, konflik itu telah mewujudkan satu daripada krisis kemanusiaan buatan manusia yang paling buruk di dunia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!