Rangnick ratapi ketumpulan jentera serangan MU

Jentera serangan United tumpul tanpa Ronaldo. - Foto Getty Images
Jentera serangan United tumpul tanpa Ronaldo. - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ralf Rangnick meratapi ketumpulan jentera serangan skuad kendaliannya itu hingga menyaksikan mereka terikat 1-1 ketika berdepan Leicester City di Old Trafford pada Ahad.

Katanya, kegagalan meraih mata penuh pada perlawanan berkenaan menambahkan lagi tekanan buat skuad The Red Devils itu bagi merebut slot empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Keputusan ini semakin menyempitkan laluan kami untuk mencabar kedudukan keempat EPL kali ini.

“Namun, kami percaya kesemua pemain dapat menangani tekanan dan beraksi sebaik mungkin bagi terus mencabar kedudukan empat pasukan terbaik EPL.

“Malah, berdasarkan perkiraan matematik, kemungkinan masih ada dan kini ia menjadi tugas buat kami untuk memberikan yang terbaik dan menamatkan saingan EPL musim ini pada kedudukan yang terbaik,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang Leicester, Kelechi Iheanacho membuka jaringan pada minit ke-63 sebelum pemain United, Fred menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-66.

Selepas perlawanan berkenaan, United kini berada pada kedudukan keenam EPL dengan 51 mata, setelah mengharungi 30 perlawanan.

Sementara itu, Rangnick turut mengakui ketiadaan penjaring terbanyak United setakat ini, Cristiano Ronaldo kali ini dilihat turut memberikan kesan kepada ketumpulan jentera serangan pasukan.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, di sepanjang perlawanan, jentera serangan skuad The Red Devils itu kelihatan terkial-kial dalam usaha menyusun serangan ke pintu gol The Foxes.

“Kami kehilangan Ronaldo yang mengalami masalah kesihatan dan ia cukup memberikan kesan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!