Hanya 4 peratus mahu Najib jadi PM, 21 peratus mahu Ismail Sabri kekal
KUALA LUMPUR - Hanya empat peratus daripada pengundi negara ini yang mahukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali memegang jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut sebuah kajian dijalankan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
Berdasarkan kajian khas dibuat pada akhir bulan Februari lalu, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan mendedahkan, Najib menjadi pilihan terakhir calon Perdana Menteri pilihan rakyat berbanding lima nama tokoh politik lain termasuk pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri sedia ada, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Walaupun dia (Najib) cukup yakin (Najib) dia popular, tetapi empat peratus sahaja pengundi yang rasa nak Najib kembali.
"Bahkan, Datuk Seri Ismail Sabri atau lebih dikenali DSIS merupakan individu paling tinggi menerima undian iaitu sebanyak 21 peratus," kata Rafizi dalam satu wawancara bersama sebuah portal berita tempatan pada Sabtu.
Menurut Rafizi, kajian tersebut membabitkan 2,500 responden dan diadakan pada setiap bulan.
Tambah Rafizi lagi, 60 peratus responden menolak nama-nama besar tokoh politik itu yang menandakan pengundi mahu pembaharuan di dalam kepimpinan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!